“Reset atau ranap” – Liga Malaysia semakin nazak

Liga Malaysia kini berada di ambang kehancuran apabila semakin banyak kelab menarik diri akibat krisis kewangan kritikal, mencetuskan persoalan serius tentang hala tuju bola sepak tempatan.

Peminat setia bola sepak tempatan, Jais Abdul Karim, berkata sudah tiba masanya Liga Malaysia melakukan 'reset' menyeluruh sekiranya ingin diselamatkan daripada terus tenggelam.

"Bola sepak kita belum layak sepenuhnya untuk liga profesional. Gaji pemain mahal, tapi mutu permainan tidak ke mana," katanya ketika dihubungi.

Mengingatkan kembali era semi-pro, Jais berkata pemain-pemain dahulu tetap memiliki pekerjaan tetap di syarikat besar seperti TNB dan JKR, namun tetap bermain penuh semangat untuk rakyat, bukan semata-mata mengejar kekayaan.

"Sekarang, pemain bergaji mewah, tetapi kelab pula bertimbun hutang. Jurang dengan JDT makin jauh. Saingan makin hambar, sukan rakyat seolah-olah dirampas," tegasnya.

Menurut Jais, kegagalan banyak kelab meniru model kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) tanpa asas kewangan kukuh turut menjadi punca utama kejatuhan.

"Bukan semua kelab mampu jadi macam JDT. Mereka ada perancangan jangka panjang dan struktur kukuh. Yang lain, hanya ikut-ikut tanpa asas," ujarnya.

Beliau turut menggesa kerajaan menilai semula pemberian dana kepada industri bola sepak negara yang gagal menunjukkan pembangunan berkesan.

"Berhenti salur dana buta. Banyak lagi sukan lain yang perlukan sokongan. Kalau tidak, kita hanya akan tinggal kenangan — liga yang pernah meriah, kini hanya tinggal sejarah," katanya.

Jelasnya, Liga Malaysia memerlukan satu anjakan paradigma menyeluruh dari segi pengurusan kewangan, pembangunan akar umbi dan pemikiran profesional agar dapat dikembalikan ke landasan sebenar.