Skuad hoki dalam dewan lelaki negara berjaya mengelak daripada menghuni tangga tercorot selepas mencatat kemenangan 6-4 ke atas Trinidad dan Tobago dalam aksi penentuan tempat ke-11 dan ke-12 Piala Dunia 2025 di Zatika Sport Centre, Ahad lalu.
Kemenangan ini merupakan kejayaan pertama skuad bimbingan Mohd Rodzhanizam Mat Radzi selepas melalui kempen sukar di peringkat kumpulan dan aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-12.
Trinidad dan Tobago bermula garang dengan dua jaringan awal menerusi Mickell Pierre pada minit ketujuh dan Darren Cowie tiga minit kemudian. Namun, Malaysia bangkit dengan penuh semangat apabila Muhammad Ashran Hamsani meledak dua gol, diikuti satu jaringan Abdul Khaliq Hamir pada suku kedua untuk mendahului 3-2.
Terkejut dengan kebangkitan Malaysia, Trinidad dan Tobago kembali menyerang dan berjaya menjaringkan dua gol menerusi Teague Marcano (minit ke-20) dan Jordan Vieira (ke-21), sekali gus merampas kelebihan 4-3.
Bagaimanapun, semangat juang skuad negara tidak luntur apabila Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyamakan kedudukan 4-4 melalui pukulan sudut penalti hanya dua minit kemudian.
Di suku terakhir, Malaysia memastikan kemenangan mutlak apabila Abdul Khaliq dan Faridzul Afiq Mohd masing-masing mencetak satu gol, sekali gus menamatkan kempen di kedudukan ke-11 dunia.