Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dengan kulit cerah dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah lain.
Menurut beliau, usaha giat sedang dijalankan untuk mengesan dan menahan suspek.
“Motif kejadian masih dalam siasatan, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Polis setakat ini telah menerima tujuh laporan daripada saksi awam berhubung insiden tersebut. Datuk Hussein menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Mohd Afandi Ahmad, menerusi talian 016-7252948.

Sebelum ini, Polis Selangor menerima laporan daripada orang awam mengenai insiden tembakan yang berlaku sekitar jam 10.50 malam di pusat beli-belah berkenaan. Mangsa, seorang pekerja pembersihan di premis tersebut, sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1 apabila suspek tiba-tiba melepaskan empat das tembakan yang mengenai kaki dan punggungnya.
Meskipun mengalami kecederaan, mangsa berjaya melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek melarikan diri ke aras P2. Suspek kemudian bertindak menahan sebuah kereta Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang pengunjung pusat beli-belah itu. Dengan mengacukan pistol, suspek memaksa pemandu berkenaan membawanya keluar dari kawasan Shah Alam.
Ketika berada di lebuh raya, suspek meminta pemandu tersebut berhenti di tepi jalan sebelum melarikan diri.
Sementara itu, kejadian ini menjadi tular di media sosial dengan dakwaan awal mengatakan tembakan berlaku di sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah tersebut. Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan menahan suspek yang terlibat. —
Sumber : Bernama