PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan kepentingan tatakelola yang telus dan akauntabiliti dalam semua pertubuhan sukan, khususnya yang menerima dana kerajaan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sebagai badan yang bergantung kepada wang rakyat, pertubuhan seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memastikan pengurusan mereka bersih daripada unsur penyalahgunaan kuasa, ketirisan, dan salah laku kewangan.
Katanya lagi, MCW memandang serius sebarang isu berkaitan tadbir urus dan integriti dalam BAM, sebagaimana yang dinyatakan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sekiranya terdapat individu yang didapati bersalah, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi. Ini bukan sahaja bertujuan untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap BAM tetapi juga sebagai amaran kepada semua organisasi lain bahawa tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang.
“Sehubungan itu, MCW mendesak agar laporan penuh siasatan SPRM terhadap BAM didedahkan kepada umum. Ini penting untuk memastikan rakyat, sebagai pembayar cukai, memahami situasi sebenar dan yakin bahawa sebarang isu telah ditangani dengan adil dan telus. Ketelusan merupakan elemen utama dalam usaha memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap badan sukan negara.
“Dana kerajaan yang disalurkan kepada BAM dan organisasi sukan lain adalah amanah daripada rakyat. Oleh itu, setiap sen yang dibelanjakan mesti memberi manfaat kepada pembangunan sukan dan tidak boleh disalahgunakan. BAM perlu mempertingkatkan mekanisme pemantauan dalaman bagi memastikan setiap proses kewangan memenuhi standard tatakelola yang tinggi,” katanya menerusi kenyataan.
MCW juga menyeru SPRM untuk terus memantau BAM dan semua badan sukan serta NGO di Malaysia. Pemantauan berterusan ini penting untuk memastikan tidak berlaku pengulangan isu berkaitan tadbir urus dan integriti. SPRM perlu bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menilai semula mekanisme pengagihan dana dan memastikan pertubuhan yang menerima dana mematuhi prinsip integriti yang ditetapkan.
MCW percaya bahawa pendedahan ini merupakan peluang untuk memperbaiki sistem tadbir urus dalam BAM dan organisasi sukan lain. Semua pihak, termasuk kerajaan, SPRM, dan masyarakat, perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan sukan di Malaysia bebas daripada sebarang bentuk salah laku yang boleh mencemarkan imej negara.
Dengan ini, MCW menyeru semua pihak untuk bersama-sama memperkukuhkan sistem tadbir urus dan integriti dalam sektor sukan negara demi memastikan pembangunan sukan yang lebih berdaya maju, telus, dan bertanggungjawab.